KERJAYA BIDANG KESELAMATAN SIBER
KERJAYA BIDANG KESELAMATAN SIBER
Permintaan untuk kerjaya pakar keselamatan siber dijangkakan meningkat sehingga 6 juta diseluruh dunia menjelang tahun 2021.
Pasaran kerjaya di Malaysia turut tidak terkecuali apabila Jawatankuasa Pemantauan Kemahiran Kritikal (Critical Skills Monitoring Committee) turut menyatakan pelbagai jenis kerjaya berkaitan keselamatan IT di dalam senarai pekerjaan kritikal 2016/2017.
Oleh yang demikian, ini merupakan peluang terbaik bagi anda yang ingin berkecimpung di dalam kerjaya teknologi keselamatan.
Keperluan asas
Tiga perkara asas ini perlu dimiliki bagi anda yang ingin berjaya di dalam karier ini – minat, sijil profesional dan pengalaman. Kebanyakan syarikat dan organisasi yang ingin mencari individu berkelayakan pada kebiasaannya akan melihat pada pengalaman teknikal dan juga pengetahuan tentang perkembangan isu keselamatan semasa.
Pemegang Ijazah Teknologi Maklumat juga mempunyai peluang
Sesetengah majikan inginkan calon-calon jawatan untuk pakar keselamatan siber memiliki sekurang-kurangnya ijazah di dalam bidang-bidang yang berkaitan. Sungguhpun pengalaman dan sijil-sijil kepakaran mempunyai nilai tambah yang lebih besar untuk kerjaya ini, mempunyai ijazah dapat menyediakan asas untuk perkembangan kerjaya di masa depan.
Sijil-sijil Profesional
Sijil-sijil ini amat bernilai pada pandangan majikan dan ia melengkapi pengalaman anda di dalam kerjaya yang berkaitan. Sekurang-kurangnya ia dapat membuktikan tahap kepakaran anda di dalam sesuatu bidang.
Terdapat beberapa kursus-kursus profesional yang menjurus kepada keselamatan siber yang boleh anda cari di atas talian. Antaranya;
Certified Ethical Hacker (CEH)
Kursus CEH ini akan mengajar anda berkenaan perisian-perisian untuk menggodam disamping memberikan anda pengetahuan tentang cara-cara yang digunakan oleh penyerang siber untuk menembusi sistem rangkaian.
CompTIA Security +
Sijil ini merangkumi asas-asas penting untuk keselamatan rangkaian dan pengurusan risiko. Selain itu, sijil ini boleh dikatakan agak popular dikalangan pakar-pakar IT di seluruh dunia.
CompTIA Network+ Certification
Sijil ini akan menyediakan pembelajaran yang berkait rapat dengan kerjaya pakar rangkaian seperti pengurusan, penyelenggaraan, pencarisilapan (troubleshooting), pemasangan dan konfigurasi rangkaian komputer asas.
CompTIA Advanced Security Practitioner (CASP)
Disyorkan untuk pakar-pakar IT yang mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun di dalam bidang berkaitan. Pensijilan ini memberikan input berkenaan keselamatan perniagaan, pengurusan risiko, penyelidikan dan analisis, mengintegrasikan perkomputeran, komunikasi dan disiplin perniagaan.
Certified Information Systems Security Professional (CISSP)
Persijilan ini dirangka oleh International Information Systems Security Certification Consortium (ISC)². Ia diiktiraf diseluruh dunia dan mampu menyediakan bidang kepakaran di dalam kemahiran teknikal dan pengalaman di dalam mengimplementasi dan menguruskan sesebuah program keselamatan.
Cisco Certified Network Associate – Security
Khusus untuk kerjaya yang berkaitan dengan pakar keselamatan, pentadbir keselamatan dan jurutera sokongan keselamatan rangkaian. Kursus CCNA – Security ini memberi tunjuk ajar kepakaran untuk membangunkan infrastuktur keselamatan, membuat pengecaman ancaman terhadap rangkaian dan kerentanan serta mencegah segala ancaman keselamatan.
Cisco Certified Network Professional – Security
Sijil CCNP – Security ini membuktikan anda mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk mengimplementasi dan menyokong penyelesaian rangkaian yang luas. Kursus persijilan ini turut merangkumi kerja-kerja susun atur, sokongan dan pencarisilapan Firewall, VPNS dan penyelesaian IDS/IPS untuk rangkaian yang besar.
Ulasan
Catat Ulasan